CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Khamis, 29 Januari 2009

E-Kerajaan

Dalam menuju ke era teknologi maklumat dan informasi (ICT), Malaysia juga tidak ketinggalan dalam melaksanakan pelbagai aplikasi elektronik yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat melalui aplikasi perdana e-kerajaan menerusi projek Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia). Ini adalah untuk membentuk semula cara kerajaan beroperasi menggunakan teknologi multimedia ini. Pelancaran e-kerajaan sememangnya mampu untuk meningkatkan lagi mutu pentadbiran di dalam kerajaan serta kaedah menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Aplikasi e-kerajaan juga bertujuan untuk meningkatkan mutu dan interaksi kerajaan dengan rakyat serta pihak swasta.

Pelbagai kemudahan disediakan oleh e-kerajaan antaranya seperti pembayaran bil kemudahan asas, semakan saman trafik, penghantaran tender kerajaan dan pendaftaran perniagaan dapat dilakukan secara terus dalam talian. E-undi merujuk kepada proses pembuangan undi dan pengiraan undi yang dilakukan secara elektronik dengan pengundi tidak perlu lagi memangkah di atas kertas seperti kaedah yang digunakan sekarang. Namun, Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan e-undi dalam pilihan raya di negara ini seperti yang digunakan di beberapa buah negara luar seperti Amerika Syarikat, Australia dan Brazil. Sistem undian seperti punch card atau kad imbasan optikal juga dikira sebagai menggunakan kaedah elektronik. Terdapat beberapa kaedah untuk mengundi secara elektronik termasuklah mesin mengundi, internet, telefon dan telefon mudah alih, pembantu digital peribadi (PDA) dan televisyen digital.

Pihak kerajaan telah menambah jumlah tenaga pakar keselamatan sistem komputer sebelum negara berhadapan dengan masalah kehilangan data yang lebih serius lagi. Dengan adanya tenaga pakar ini, data atau rahsia sulit kerajaan tidak akan terdedah kepada serangan pencerobohan sistem komputer atau virus pada bila-bila masa. Kerajaan telah meningkatkan jumlah tenaga pakar sekurang-kurangnya seorang untuk setiap jabatan.

Apakah itu E-Kerajaan?

E-kerajaan adalah membenarkan pengedaran maklumat dan perkhidmatan secara bebas dalam sektor pentadbiran awam, disamping mengatasi kekangan sistem-sistem yang berasaskan tradisi fizikal dan penggunaan dokumen kertas dengan menggunakan teknologi maklumat.

Terdapat peluang-peluang yang wujud akibat daripada E-Kerajaan iaitu tanggungjawab di mana ia membolehkan kerajaan menjadi lebih terbuka dan transparen. Misalnya, menerbitkan debat dalam parlimen, dan minit mesyuarat pentadbiran pada laman web supaya rakyat jelata boleh mencapainya dengan mudah. Selain itu, antara peluang yang lain ialah penyebaran perkhidmatan secara adil dan transparen yakni penyebaran boleh dilakukan dengan kadar yang cepat, lancar dan berkesan bagi berinteraksi dengan orang awam dan syarikat swasta, dan ia menambahkan lagi pusat penemuan. Dengan meliberalisasikan pusat penemuan ia boleh menjadi alat pencegah rasuah yang sangat berkesan. Contohnya, menyediakan borang dan perkhidmatan perlesenan di atas-talian untuk mengelakkan perlunya pergi ke pejabat kerajaan dengan risiko pembuangan masa dan kejadian rasuah. Peluang yang lain adalah pemerintahan iaitu ia merupakan satu bidang di mana kekuasaan undang-undang sedang diuji dalam percubaan menyediakan kaedah pengundian berlainan.

Matlamat utama E-Kerajaan ialah ia bermula dengan penyebaran-penyebaran perkhidmatan awam yang sangat terdedah kepada aktiviti rasuah dan kos transaksi yang tinggi yang amat diperlukan oleh rakyat setempat dan luar bandar. Ia boleh diklasifikasikan dalam lima matlamat berikut yakni penyebaran perkhidmatan awam yang lebih baik kepada rakyat.Misalnya, pendaftaran hartanah yang dahulunya memakan masa sehingga berhari-hari namun dengan adanya E-Kerajaan ia dapat mengurangkan kos transaksi dengan banyak dan meningkatkan transparensi perkhidmatan awam dimana penyediaan borang yang boleh dilengkapkan diatas talian.Kedua, peningkatan perkhidmatan untuk perniagaan. Bagi negara-negara membangun, prosedur kastam dan proses perlesenan untuk memulakan sesuatu perniagaan adalah sukar untuk usahawan dan pelabur-pelabur domestik dan luar negara.Ketiga, Transparensi dan anti-rasuah. Keputusan laporan terperinci belanjawan jabatan kerajaan dan juga rancangan-rancangan projek boleh didedahkan kepada orang ramai supaya rakyat boleh memantau pengimplimentasian projek dan penggunaan wang dengan mendalam. Terdapat juga laman web yang mendedahkan nama pegawai kerajaan yang terlibat dalam kegiatan rasuah. Keempat,pemberian kuasa melalui maklumat. Penyebaran maklumat dilakukan misalnya kepada pekebun, peladang, dan penternak. Golongan ini memerlukan maklumat mengenai kadar harga barangan hasil ladang ternakan dalam daerahnya dan juga dalam daerah-daerah berjiran supaya mereka mempunyai kuasa tawar- menawar harga barangan yang lebih dengan orang tengah. Selain itu, terdapat juga maklumat mengenai hak dalam undang-undang dan program-program kerajaan untuk membantu golongan miskin. Matlamat yang terakhir ialah pemerolehan yang lebih efisen. E-Pemerolehan adalah kompenan terpenting didalam E-Kerajaan dan ia dapat megurangkan kos urusniaga dengan banyak dan menawarkan peluang kepada pembekal-pembekal baru untuk membuat tawaran tender.

Walaupun E-Kerajaan bergantung kepada maklumat dan teknologi komunikasi, manfaat daripada E-Kerajaan tidak terhad kepada negara-negara yang mempunyai infrastruktur ICT yang termaju.E-Kerajaan juga bukan suatu konsep menggunakan teknologi internet secara eksklusif walaupun internet diiktiraf sebagai perantara yang paling berkesan dan popular untuk menyampaikan E-Kerajaan namun ia masih boleh dilaksanakan dengan menggunakan kaedah komunikasi konvesional seperti perbualan telefon, telefon digital tanpa wayar dan teknologi mesej, faksimili dan juga radio.

Sebenarnya terdapat beberapa negara telahpun mengaplikasikan E-Kerajaan atau kompenan-kompenan E-Kerajaan pada tahap-tahap berbeza dalam melancarkan pentadbiran negara. Antara kerajaan luar yang yang menggunakan E-Kerajaan ialah Argentina iaitu mengedarkan belanjawan dengan bebas kepada rakyat. Selain itu, Brazil dimana ia menyediakan perkhidmatan komputer dalam bentuk kiosk komputer bergerak yang menggunakan van. Negara lain yang menggunakan E-Kerajaan adalah Chile di mana ia mengamalkan E-Pemerolehan bagaimana pula Korea Selatan menggalakkan transperansi dalam perkhidmatan daerah. Dua kajian kes yang mendemonstrasikan pengaplikasian E-Kerajaan dalam negara membangun dengan lebih jelas ialah Andra Pradesh, India. Polisi kerajaan diubah dan kini memerlukan semua initiatif kerajaan menumpu pada pembekalan maklumat berguna, perkhidmatan yang baik, dan pentadbiran yang adil dan saksama. Ia dipanggil sebagai SMART (“Simple Moral Accontable Responsive and Transparent government). Mexico pula kerajaannya telah mendaftarkan lebih daripada 500 nama domain untuk pejabat-pejabat kerajaan. Laman-laman kerajaan ini mengandungi maklumat tentang perkhidmatan kerajaan, data dan rujukan ke sumber-sumber maklumat yang lain.

Kos-kos untuk mengimplementasikan konsep E-Kerajaan pada kerajaan setempat adalah berbeza-beza dan kos-kos yang terlibat adalah seperti kos kejuruteraan semula, peningkatan kos agensi dan kos sosial. Kos sosial perlu diambilkira kerana pengimplementasian E-Kerajaan boleh memberi kesan kepada pekerjaan, hubungan kerja, dan hubungan kerajaan dengan rakyat.Perhatian juga perlu diambil supaya kumpulan yang kurang bernasib baik tidak diaibkan disebabkan pembaharuan ini. Kerajaan sesebuah negara boleh mengemplimentasikan initiatif E-Kerajaan pada paras kerajaan setempat, daerah, negeri, ataupun persekutuan. Program-program yang perlu dilaksanakan untuk penubuhan E-Kerajaan adalah seperti rancangan menggabungkan piawaian dan rangka-rangka kerja jabatan-jabatan. Kedua, rancangan untuk membolehkan perkhidmatan kerajaan lebih mudah dicapai oleh rakyat dan perniagaan melalui laman portal kerajaan. Ketiga, rancangan untuk menawarkan proses dalaman secara elektronik. Misalnya melalui internet untuk perkhidmatan antara badan pekerjaan. Seterusnya, analisis keperluan niaga dan manfaat mengaplikasikan ICT dan yang lain ialah penilaian semula aliran maklumat dan transaksi antara jabatan, rakyat, sektor awam lain dan badan komuniti.

Secara kesimpulannya, melalui E-Kerajaan secara tidak langsung ia dapat memudahkan pihak kerajaan itu sendiri dalam melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih cekap terhadap pekerjaan yang dilakukan disamping memudahkan interaksi dengan rakyat dan pihak swasta. Ini menunjukkan teknologi multimedia benar-benar membantu dalam memudahkan sebarang urusan yang perlu dilaksanakan dan ia amat menjimatkan masa.

Rabu, 21 Januari 2009

Peranan MSC Dalam Konteks Pekerjaan



MSC atau dikenali sebagai “ Multimedia Super Coridor ” merupakan salah satu inisiatif kerajaan Malaysia bagi industri informasi global dan teknologi komunikasi (ICT). Pencetus idea bernas tersebut adalah ilham daripada Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada tahun 1996. Walaupun Malaysia mencapai kemerdekaan hampir 52 tahun, namun masih wujud segelintir masyarakat yang tidak memahami secara mendalam tujuan sebenar pembangunan MSC tersebut. Ia diilham bagi mewujudkan satu kawasan berteraskan teknologi serta pengetahuan yang berkeluasan 15 x 50 kilometer persegi yang menjangkau kawasan segi tiga emas, meliputi utara Menara Berkembar Petronas (KLCC) sehingga selatan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), dan turut merangkumi Bandar Putrajaya dan Cyberjaya.

Koridor Raya Multimedia (MSC) yang bermula pada tahun1996 itu adalah bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020. Perkembangan MSC telah mengubah negara menjadi hub teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dinamik dan menjadi teras utama kepada syarikat multinasional seperti syarikat asing dan syarikat tempatan untuk mengeluarkan produk multimedia dan komunikasi serta penyelidikan (P&P) yang berkaitan dengan ICT.

Jika dilihat dari asasnya projek MSC menunjukkkan kejayaan apabila sejumlah 1,208 syarikat telah diberi status MSC, penjanaan 19000 pekerjaan berasaskan pengetahuan, penjualan produk berasaskan ICT sebanyak RM 68 juta dan sejumlah RM 522 juta telah dibelanjakan untuk P&P. Disamping itu, MSC juga telah memainkan peranannya dalam usaha memupuk penginovasian dan perkembangan syarikat yang berasaskan ICT di mana pada hari ini apa yang boleh dilihat lebih 70 peratus daripada syarikat sekuriti MASDAQ berstatus MSC.


Konsep pembangunan MSC berjaya menambat perhatian hampir 900 buah organisasi berteraskan multinasional, syarikat asing serta firma tempatan untuk membuat pelaburan di kawasan MSC yang telah dispesifikan. Kebanyakkan syarikat tersebut adalah syarikat berteraskan multimedia, telekomunikasi, perkhidmatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D). Sementelahan itu, MSC merupakan peneraju utama kepada 48 syarikat yang menjalankan proses operasi perkongsian, perkhidmatan dan penyumberan luar (SSO) yang bertaraf dunia. Proses MSC telah memberi kesan dalam mewujudkan hampir 11, 200 peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

MSC menjana peluang pekerjaan. Namun persoalan yang kini hangat diperkatakan ialah, “Adakah pembangunan MSC dapat menjana peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, terutamanya kepada golongan siswa dan siswi lepasan institusi pengajian tinggi (IPT)? ”

Secara logiknya, pelaburan yang dibuat dalam projek MSC daripada pelbagai syarikat asing memberikan 1001 manfaat kepada rakyat Malaysia terutama sekali kepada golongan pelajar. Hal ini kerana, selain melabur dalam bidang yang berkaitan dengan teknologi, syarikat tersebut juga tidak pernah alpa dalam pembangunan modal insan. Hal ini, dapat dilihat melalui penyediaan biasiswa kepada golongan pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi (IPT) tempatan mahupun luar negara. Hal sedemikian dapat membuka ruang kepada pelajar untuk membina kerjaya dalam syarikat-syarikat tersebut. Antara syarikat berstatus MSC yang menawarkan geran biasiswa kepada mahasiswa dan mahasiswi ialah Petronas, Intel Corporations, Tenaga Nasional Berhad (TNB) , Telekom Malaysia (TM) dan lain-lain lagi.

Malahan, melalui biasiswa yang disediakan oleh syarikat-syarikat tertentu, para pelajar sekaligus akan mendapat pendedahan awal sebelum memasuki pekerjaan yang sebenar. Perkara ini dapat diperjelaskan lagi iaitu pelajar IPT akan menjalani latihan industri ataupun praktikum dibawah pengawasan serta kawal selia syarikat terbabit. Disamping itu, ia juga dapat meningkatkan tahap “ soft skill ” dalam menggalakkan pelajar untuk menceburkan diri di dalam projek serta program yang dilaksanakan.



Tanggal 13 Disember 2005, wujudnya satu portal rasmi Kerajaan Malaysia iaitu e-Kerajaan (http://www.gov.my/) yang telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN). Terdapat pelbagai kelebihan daripada hasil penciptaan portal tersebut, misalnya syarikat kerajaan (GLC) dan syarikat swasta berpeluang mengiklankan pelbagai peluang pekerjaan melalui portal tersebut. Secara tidak langsung, hal ini menyediakan satu akses kepada kemudahan rakyat terutamanya kepada golongan pelajar lepasan universiti dalam mencari pekerjaan. Melalui portal tersebut juga permohonan pekerjaan boleh dilakukan secara atas talian atau “online”. Antara rangkaian atas talian atau “online” yang menyediakan kemudahan akses mencari pekerjaan ialah melalui laman web. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (JPA) (http://www.spa.gov.my/) ataupun melalui laman web Bursa Buruh Elektronik (http://www.elx.gov.my/)

Selain itu dengan wujudnya portal –portal seperti ini, rakyat dapat mengakses pelbagai perkara berkaitan dengan tender-tender daripada organisasi kerajaan, berita-berita muktahir, membuat aduan kepada agensi kerajaan dan lain-lain. Justeru itu, ini adalah merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk mewujudkan sebuah kerajaan berteraskan elektronik yang boleh menjana cara penyampaian oleh kerajaan dan seterusnya mengurangkan kerenah birokrasi.


Kewujudan MSC juga membuka peluang dalam bidang pendidikan seterusnya kepada peluang pekerjaan. Penubuhan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di Cyberjaya boleh dianggap sebagai pemangkin kearah melahirkan graduan unversiti yang mempunyai prospek kepada pekerjaan. Hal ini kerana bidang-bidang yang ditawarkan adalah berkaitan dengan multimedia dan teknologi seperti bidang kejuruteraan, IT, pengurusan dan kreatif. Bidang-bidang yang ditawarkan oleh MMU ini memenuhi kehendak serta kriteria dalam bidang pekerjaan terutama sekali pekerjaan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat yang bertapak di dalam MSC.

Selain itu, MMU juga banyak mengadakan hubungan kerjasama dengan syarikat-syarikat berstatus MSC seperti Telenor Research and Innovation Center Asia Pasific untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ICT. Syarikat-syarikat tersebut telah melihat MMU sebagai sebuah universiti yang dapat menggabungkan antara pendidikan dan pekerjaan. Melalui kerjasama ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pelajar-pelajar tempatan untuk berkecimpung di dalam bidang penyelidikan bagi membantu membangunkan industri ICT di Malaysia dan seterusnya memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menceburi bidang ICT di peringkat antarabangsa.

Dengan memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan kepada rakyat Malysia dan sekaligus mengurangkan kadar penggangguran di kalangan graduan universiti, kerajaan juga telah mengambil inisiatif dengan membangunkan beberapa lagi kawasan berstatus MSC seperti di Kulim, Kedah, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Meru, Perak. Kawasan-kawasan ini telah dilengkapi dengan kemudahan dan infrastuktur serta pelbagai inisiatif diberikan kepada syarikat-syarikat yang berminat untuk melabur di kawasan tersebut. Kemasukan syarikat-syarikat ini seterusnya membuka peluang kepada rakyat-rakyat tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

Kesimpulannya, kewujudan kawasan MSC dan kemasukan syarikat yang diberikan status MSC ini menyediakan peluang kepada rakyat tempatan disemua peringkat dan bidang. Oleh itu, kerajaan seharusnya perlu mempromosikan MSC Malaysia ke peringkat antarabangsa bagi menarik minat lebih banyak lagi syarikat-syarikat lain untuk turut serta melabur di dalam MSC Malaysia.

Lonjakkan MSC menumpukan kepada pengekalan dan daya saing yang berfokus kepada penginovasian. Tujuan aplikasi perdana untuk MSC iaitu kerajaan elektronik (e-kerajaan), kod pelbagai guna (teknolgi kod bisteri), e-Dagang, pembangunan tekno-usahawan, tele-perubatan, sekolah besteri diperingkat pelaksanaan. Strategi ini diperluaskan untuk mempercepatkan pertumbuhan bagi industri ICT yang pesat serta penggunaan produk dan perkhidmatan ICT tempatan yang berinovatif. Kehadiran produk MSC ini telah mensasarkan 250 buah syarikat yang meliputi syarikat tempatan dan multinasional, aplikasi perdana dipertingkatkan bertujuan untuk memperkukuhkan daya saing negara dalam mewujudkan industri ICT yang berdaya saing tinggi dan dapat bersaing diperingkat serantau mahupun antarabangsa.

Projek MSC yang dilaksanakan adalah bertujuan untuk melahirkan masyarakat bestari antarabangsa bagi menikmati faedah sosial dan ekonomi yang menjangkakan hampir 245,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi akan diwujudkan. Lonjakkan MSC diperluaskan ke seluruh dunia dan menjadikan Malaysia sebuah masyarakat berpengetahuan di mana bilangan masyarakat berstatus MSC dipertingkatkan kepada 500 buah. MSC juga turut dihubungkan dengan 12 bandaraya dalam rangkaian maklumat antarabangsa untuk mempertingkatkan faedah sosial dan ekonomi serta persekitaran yang menggalakkan aktiviti serta inovasi untuk menuju ke sempadan teknologi yang baru.

Sejak dasar Sains dan Teknologi negara utama dan dasar pembangunan Teknologi Perindustrian digubal, pembangunan P&P telah diintegrasikan dalam pelan pembangunan negara yang menyeluruh. Namun untuk mengukuhkan lagi teknologi, kerajaan telah melancarkan Dasar Sains dan Teknologi Negara kedua (DSNT2) untuk merangsang teknologi dan menggalakkan ekonomi yang didorong oleh inovasi.

Khamis, 15 Januari 2009

Revolusi Teknologi Tunggak Pekerjaan




Bidang teknologi mempunyai satu konsep yang meluas dan juga mempunyai lebih daripada satu takrifan. Istilah teknologi selalunya berhubung rapat dengan sesuatu rekaan dan gadjet yang mana ianya menggunakan prinsip sains dan proses terkini. Namun begitu, sejauh mana generasi alaf ke 21 pada masa kini memahami tentang erti sebenar penguasaan ilmu teknologi tersebut.

APAKAH TEKNOLOGI
Menurut sumber daripada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi ke 4 teknologi ditakrifkan sebagai satu aktiviti atau kajian yang menggunakan pengetahuan sains untuk tujuan praktis dalam bidang industri, pertanian , perubatan, perniagaan dan seumpamanya.

Sementalahan itu, teknologi menyatakan istilah bahawa maklumat teknologi yang berkaitan dengan penyimpanan, pemprosesan dan juga penyebaran maklumat secara elektronik iaitu melalui penggunaan teknologi komputer dan juga telekomunikasi .

Perkembangan dunia komunikasi sangat berkait rapat dengan perkembangan teknologi dengan perkembangan teknologi. Perkembangan teknologi berlaku bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan dan sudah menjadi seperti ombak yang tidak dapat dikawal. Dengan adanya teknologi, proses untuk berkomunikasi menjadi lebih mudah, mobiliti imformafi menjadi sangat tinggi dan cepat.


Malahan, segala informasi di seluruh dunia dapat diketahui dengan pantas dan mudah. Peranan teknologi maklumat dan komunikasi turut menjadi tunjang bagi kejayaan pembangunan dalam pelbagai bidang. Sehingga kini, perkembangan budaya, ilmu pengetahuan, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya menjadi semakin pesat disebabkan kehadiran teknologi komunikasi.

Tanggal Malaysia melangkah masuk ke abad ke-21 ianya membawa satu pengertian yang bermakna dalam mencorak kemajuan dan pemodenan negara. Sehubungan dengan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi keperihatinan dalam bidang teknologi yang boleh merentas era globalisasi, multimedia super koridor seiring dengan negara maju seperti Amerika Syarikat.

Takrifan yang pertama ialah pembangunan dan penggunaan alatan mesin bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia. Maksud yang kedua digunakan dalam bidang ekonomi yang mana teknologi dilihat sebagai tahap pengetahuan semasa dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki. Oleh itu, teknologi akan berubah apabila pengetahuan teknikal kita berubah.

Perkembangan teknologi komunikasi bermula dengan penemuan alat cetak pada tahun 1041. Walaupun Johann Gutenberg adalah berasal dari Jerman dan beliau dikenali sebagai orang yang membuat proses percetakan menjadi lebih cepat dan menjimatkan pada tahun 1436. Namun pemikiran beliau adalah berdasarkan penemuan awal alat cetak di China pada tahun 1041 tersebut.


Di era globalisasi kini, masyarakat boleh dikatakan amat bergantung kepada teknologi di dalam kehidupan seharian terutamanya dalam bidang pekerjaan. Situasi seperti ini, menjadikan kemajuan teknologi sering kali diukur dengan melihat pelbagai penciptaan produk teknologi yang semakin meningkat saban tahun terutamanya dalam memudahkan dan mempercepatkan sesuatu proses kerja.

Secara keseluruhannya, penggunaan teknologi dengan evolusi pekerjaan dalam ekonomi tidak mempunyai struktur perhubungan yang sistematik. Kemunculan pelbagai jenis mesin menunjukkan perkembangan yang berperingkat dalam tempot waktu yang lama.

Malah, sesetengah pendapat menyatakan bahawa dengan peningkatan penggunaan teknologi dalam bidang pekerjaan telah mengakibatkan sesetangah pekerjaan menjadi tidak penting dan mewujudkan pekerjaan baru yang semakin maningkat. Sebagai contohnya, kebanyakkan kilang mengurangkan bilangan pekerjanya bukan hanya disebabkan oleh faktor ekonomi malahan turut berpunca daripada penggunaan mesin dan robot dalam proses menghasilkan produk. Selain itu, kakitangan institusi kewangan seperti bank juga kini sudah mengurangkan penggunaan tenaga kerja tetapi lebih menumpukan kepada penggunaan mesin seperti ATM, deposit tunai dan sebagainya.