CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Khamis, 29 Januari 2009

E-Kerajaan

Dalam menuju ke era teknologi maklumat dan informasi (ICT), Malaysia juga tidak ketinggalan dalam melaksanakan pelbagai aplikasi elektronik yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat melalui aplikasi perdana e-kerajaan menerusi projek Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia). Ini adalah untuk membentuk semula cara kerajaan beroperasi menggunakan teknologi multimedia ini. Pelancaran e-kerajaan sememangnya mampu untuk meningkatkan lagi mutu pentadbiran di dalam kerajaan serta kaedah menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Aplikasi e-kerajaan juga bertujuan untuk meningkatkan mutu dan interaksi kerajaan dengan rakyat serta pihak swasta.

Pelbagai kemudahan disediakan oleh e-kerajaan antaranya seperti pembayaran bil kemudahan asas, semakan saman trafik, penghantaran tender kerajaan dan pendaftaran perniagaan dapat dilakukan secara terus dalam talian. E-undi merujuk kepada proses pembuangan undi dan pengiraan undi yang dilakukan secara elektronik dengan pengundi tidak perlu lagi memangkah di atas kertas seperti kaedah yang digunakan sekarang. Namun, Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan e-undi dalam pilihan raya di negara ini seperti yang digunakan di beberapa buah negara luar seperti Amerika Syarikat, Australia dan Brazil. Sistem undian seperti punch card atau kad imbasan optikal juga dikira sebagai menggunakan kaedah elektronik. Terdapat beberapa kaedah untuk mengundi secara elektronik termasuklah mesin mengundi, internet, telefon dan telefon mudah alih, pembantu digital peribadi (PDA) dan televisyen digital.

Pihak kerajaan telah menambah jumlah tenaga pakar keselamatan sistem komputer sebelum negara berhadapan dengan masalah kehilangan data yang lebih serius lagi. Dengan adanya tenaga pakar ini, data atau rahsia sulit kerajaan tidak akan terdedah kepada serangan pencerobohan sistem komputer atau virus pada bila-bila masa. Kerajaan telah meningkatkan jumlah tenaga pakar sekurang-kurangnya seorang untuk setiap jabatan.

Apakah itu E-Kerajaan?

E-kerajaan adalah membenarkan pengedaran maklumat dan perkhidmatan secara bebas dalam sektor pentadbiran awam, disamping mengatasi kekangan sistem-sistem yang berasaskan tradisi fizikal dan penggunaan dokumen kertas dengan menggunakan teknologi maklumat.

Terdapat peluang-peluang yang wujud akibat daripada E-Kerajaan iaitu tanggungjawab di mana ia membolehkan kerajaan menjadi lebih terbuka dan transparen. Misalnya, menerbitkan debat dalam parlimen, dan minit mesyuarat pentadbiran pada laman web supaya rakyat jelata boleh mencapainya dengan mudah. Selain itu, antara peluang yang lain ialah penyebaran perkhidmatan secara adil dan transparen yakni penyebaran boleh dilakukan dengan kadar yang cepat, lancar dan berkesan bagi berinteraksi dengan orang awam dan syarikat swasta, dan ia menambahkan lagi pusat penemuan. Dengan meliberalisasikan pusat penemuan ia boleh menjadi alat pencegah rasuah yang sangat berkesan. Contohnya, menyediakan borang dan perkhidmatan perlesenan di atas-talian untuk mengelakkan perlunya pergi ke pejabat kerajaan dengan risiko pembuangan masa dan kejadian rasuah. Peluang yang lain adalah pemerintahan iaitu ia merupakan satu bidang di mana kekuasaan undang-undang sedang diuji dalam percubaan menyediakan kaedah pengundian berlainan.

Matlamat utama E-Kerajaan ialah ia bermula dengan penyebaran-penyebaran perkhidmatan awam yang sangat terdedah kepada aktiviti rasuah dan kos transaksi yang tinggi yang amat diperlukan oleh rakyat setempat dan luar bandar. Ia boleh diklasifikasikan dalam lima matlamat berikut yakni penyebaran perkhidmatan awam yang lebih baik kepada rakyat.Misalnya, pendaftaran hartanah yang dahulunya memakan masa sehingga berhari-hari namun dengan adanya E-Kerajaan ia dapat mengurangkan kos transaksi dengan banyak dan meningkatkan transparensi perkhidmatan awam dimana penyediaan borang yang boleh dilengkapkan diatas talian.Kedua, peningkatan perkhidmatan untuk perniagaan. Bagi negara-negara membangun, prosedur kastam dan proses perlesenan untuk memulakan sesuatu perniagaan adalah sukar untuk usahawan dan pelabur-pelabur domestik dan luar negara.Ketiga, Transparensi dan anti-rasuah. Keputusan laporan terperinci belanjawan jabatan kerajaan dan juga rancangan-rancangan projek boleh didedahkan kepada orang ramai supaya rakyat boleh memantau pengimplimentasian projek dan penggunaan wang dengan mendalam. Terdapat juga laman web yang mendedahkan nama pegawai kerajaan yang terlibat dalam kegiatan rasuah. Keempat,pemberian kuasa melalui maklumat. Penyebaran maklumat dilakukan misalnya kepada pekebun, peladang, dan penternak. Golongan ini memerlukan maklumat mengenai kadar harga barangan hasil ladang ternakan dalam daerahnya dan juga dalam daerah-daerah berjiran supaya mereka mempunyai kuasa tawar- menawar harga barangan yang lebih dengan orang tengah. Selain itu, terdapat juga maklumat mengenai hak dalam undang-undang dan program-program kerajaan untuk membantu golongan miskin. Matlamat yang terakhir ialah pemerolehan yang lebih efisen. E-Pemerolehan adalah kompenan terpenting didalam E-Kerajaan dan ia dapat megurangkan kos urusniaga dengan banyak dan menawarkan peluang kepada pembekal-pembekal baru untuk membuat tawaran tender.

Walaupun E-Kerajaan bergantung kepada maklumat dan teknologi komunikasi, manfaat daripada E-Kerajaan tidak terhad kepada negara-negara yang mempunyai infrastruktur ICT yang termaju.E-Kerajaan juga bukan suatu konsep menggunakan teknologi internet secara eksklusif walaupun internet diiktiraf sebagai perantara yang paling berkesan dan popular untuk menyampaikan E-Kerajaan namun ia masih boleh dilaksanakan dengan menggunakan kaedah komunikasi konvesional seperti perbualan telefon, telefon digital tanpa wayar dan teknologi mesej, faksimili dan juga radio.

Sebenarnya terdapat beberapa negara telahpun mengaplikasikan E-Kerajaan atau kompenan-kompenan E-Kerajaan pada tahap-tahap berbeza dalam melancarkan pentadbiran negara. Antara kerajaan luar yang yang menggunakan E-Kerajaan ialah Argentina iaitu mengedarkan belanjawan dengan bebas kepada rakyat. Selain itu, Brazil dimana ia menyediakan perkhidmatan komputer dalam bentuk kiosk komputer bergerak yang menggunakan van. Negara lain yang menggunakan E-Kerajaan adalah Chile di mana ia mengamalkan E-Pemerolehan bagaimana pula Korea Selatan menggalakkan transperansi dalam perkhidmatan daerah. Dua kajian kes yang mendemonstrasikan pengaplikasian E-Kerajaan dalam negara membangun dengan lebih jelas ialah Andra Pradesh, India. Polisi kerajaan diubah dan kini memerlukan semua initiatif kerajaan menumpu pada pembekalan maklumat berguna, perkhidmatan yang baik, dan pentadbiran yang adil dan saksama. Ia dipanggil sebagai SMART (“Simple Moral Accontable Responsive and Transparent government). Mexico pula kerajaannya telah mendaftarkan lebih daripada 500 nama domain untuk pejabat-pejabat kerajaan. Laman-laman kerajaan ini mengandungi maklumat tentang perkhidmatan kerajaan, data dan rujukan ke sumber-sumber maklumat yang lain.

Kos-kos untuk mengimplementasikan konsep E-Kerajaan pada kerajaan setempat adalah berbeza-beza dan kos-kos yang terlibat adalah seperti kos kejuruteraan semula, peningkatan kos agensi dan kos sosial. Kos sosial perlu diambilkira kerana pengimplementasian E-Kerajaan boleh memberi kesan kepada pekerjaan, hubungan kerja, dan hubungan kerajaan dengan rakyat.Perhatian juga perlu diambil supaya kumpulan yang kurang bernasib baik tidak diaibkan disebabkan pembaharuan ini. Kerajaan sesebuah negara boleh mengemplimentasikan initiatif E-Kerajaan pada paras kerajaan setempat, daerah, negeri, ataupun persekutuan. Program-program yang perlu dilaksanakan untuk penubuhan E-Kerajaan adalah seperti rancangan menggabungkan piawaian dan rangka-rangka kerja jabatan-jabatan. Kedua, rancangan untuk membolehkan perkhidmatan kerajaan lebih mudah dicapai oleh rakyat dan perniagaan melalui laman portal kerajaan. Ketiga, rancangan untuk menawarkan proses dalaman secara elektronik. Misalnya melalui internet untuk perkhidmatan antara badan pekerjaan. Seterusnya, analisis keperluan niaga dan manfaat mengaplikasikan ICT dan yang lain ialah penilaian semula aliran maklumat dan transaksi antara jabatan, rakyat, sektor awam lain dan badan komuniti.

Secara kesimpulannya, melalui E-Kerajaan secara tidak langsung ia dapat memudahkan pihak kerajaan itu sendiri dalam melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih cekap terhadap pekerjaan yang dilakukan disamping memudahkan interaksi dengan rakyat dan pihak swasta. Ini menunjukkan teknologi multimedia benar-benar membantu dalam memudahkan sebarang urusan yang perlu dilaksanakan dan ia amat menjimatkan masa.

0 ulasan: