CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Rabu, 18 Mac 2009

Teknologi, pekerjaan dan wanita



Apabila menyebut mengenai soal teknologi, semua orang menyedari bahawa teknologi sering berubah dari semasa ke semasa megikut peredaran waktu. Perubahan teknologi yang berlaku termasuklah perubahan dari segi teknologi maklumat, teknologi komunikasi dan teknologi mesin-mesin. Justeru, sebagai seorang pekerja mahu atau tidak mahu kita perlu mengetahui mengenai teknologi tersebut agar kita tidak ketinggalan ke belakang. Lagipula, majikan pastinya memerlukan tenaga pekerja yang memerlukan penggunaan teknologi yang tertentu dalam sektor pekerjaan tersebut.
Kini wanita memainkan peranan yang penting seiring dengan kaum lelaki dalam menyumbang tenaga, kemahiran, dan kepakaran dalam bidang pekerjaan bagi membantu meningkatkan ekonomi negara. Buat masa ini, mereka merupakan satu pertiga daripada jumlah tenaga buruh. Dari segi penyertaan buruh, penyertaan wanita meningkat dari 37.2 peratus dalam tahun 1970 kepada 46.7 peratus dalam tahun 1990 Wanita kini amat berbeza daripada wanita zaman dahulu di mana rata-rata wanita pada hari ini mempunyai latar pendidikan yang baik bahkan lebih daripada kaum lelaki.
Seharusnya wanita-wanita yang berpelajaran ataupun tidak pelu tahu menggunakan teknologi yang sedia ada supaya tidak ketinggalan ke belakang dan sentiasa berada di depan seiring dengan kaum adam. Justeru, wanita perlulah menjadi seorang individu yang celik maklumat. Apabila seseorang wanita celik maklumat maka mereka boleh bersaing dalam pasaran kerja. Misalnya, jika seseorang wanita itu tahu menggunakan internet, maka teknologi komunikasi ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dengan sebaiknya. Antaranya mereka dapat memperoleh maklumat atau informasi yang lebih berbanding wanita yang tidak tahu menggunakan teknologi maklumat ini. Segala isu semasa yang berlaku pastinya dapat diikuti dengan baik. Ini kerana tidak semua yang dikeluarkan dari internet itu dipaparkan dalam media massa. Selain itu, pencarian maklumat dapat di cari dengan kadar yang cepat. Namun wanita tersebut perlu bijak menilai kualiti maklumat yang dicari atau diperolehi melalui internet.
Ini bermakna, sekalipun seseorang wanita itu berpelajaran tinggi namun jika mereka tidak tahu menggunakan teknologi maklumat maka sedikit sebanyak ia akan memberi masalah. Ini kerana sektor pekerjaan pada hari ini bergantung kepada teknologi maklumat seperti komputer untuk menyiapkan segala kerja. Dipetik dari laman web (http://www.hbp.usm.my/methods/) yang ditulis oleh Ho Lip Wah menyatakan untuk hidup dalam zaman teknologi maklumat, jika seseorang tidak ingin dilihat sebagai seorang yang ketinggalan zaman maka seseorang perlu celik maklumat dan mempunyai kemahiran asas sekurang-kurangnya untuk mengikuti perkembangan semasa. Bayangkanlah betapa tidak sesuai sekiranya seseorang cuba bersaing dalam dunia perdagangan pada tahun 2020 dengan menggunakan komputer Pentium 3(diubah daripada Robins, 1987). Oleh itu, wanita perlu peka dengan dengan keadaan semasa mengenai penggunaan teknologi maklumat ini agar ia sesuai dengan kedaan semasa. Jika kita lihat, kaum wanita merupakan hampir dari separuh penduduk-penduduk di mana-mana negara namun masih dianggap sebagai kumpulan minoriti. Seharusnya kaum hawa di Malaysia perlu berasa bersyukur kerana wanita masih diberi peluang bekerja di mana-mana tempat cuma peluang itu tidaklah terbuka luas.
Memetik dari sumber internet yang lain (http://wangikl.utm.my/portal) yang bertajuk wanita dan teknologi menyatakan dalam era maklumat, apa yang diutamakan ialah kekuatan intelek. Kita dapat melihat situasi di mana banyak wanita merebut peluang dalam perkembangan IT untuk merealisasikan potensi. Ramai di kalangan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tertinggi sehingga menjadi pakar dalam bidang masing-masing. Mereka menggunakan peluang itu untuk mencetuskan perubahan lain yang menguntungkan wanita sendiri. Sehubungan itu, teknologi komputer dalam era maklumat mempunyai kesan empowerment yang luar biasa dalam meningkatkan produktiviti, lantas menaikkan status wanita. Ini bermaksud, ramai wanita kini telah menceburkan diri dalam dunia pekerjaan termasuk dalam bidang professional.
Misalnya, di Malaysia ramai wanita yang mencipta nama dalam bidang masing-masing sekaligus membanggakan seluruh wanita di mana ia menunjukkan bahawa kaum wanita juga mampu melakukan seperti apa yang dilakukan oleh kaum lelaki. Dipetik dari myMetro bertarikh 17 MAC 2009 mengenai seorang wanita berjaya, Hazlina Puspa Hassan, 40, seorang Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Asia Pasifik F-Secure Corporation yang menggalas tugasnya secara komited walaupun dikelilingi pekerja asing termasuk dari negara asing. Katanya, “Saya lakukan tugas penuh rasa tanggungjawab bagi meletakkan kerja pada tahap tertinggi demi membuktikan wanita mampu menerajui satu rangkaian hebat jika diberi peluang”. Ini kerana memahami teknologi pengkomputeran berkaitan korporat dan melaksanakan komunikasi secara berkesan serta penuh strategik di Asia Pasifik bukan tugas yang mudah. Selain itu, dalam ruangan yang sama dalam myMetro, wanita boleh berjaya malah menguasai bidang yang biasanya dikuasai lelaki asalkan mereka sentiasa mempunyai semangat membara serta motivasi untuk memperkasakan diri. Ini kerana, menurut Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Mejar Bibi Zarjaan Akhbar Khan, wanita perlu gigih terutama dalam mempertingkatkan kemahiran pengurusan kehidupan seharian, bermula daripada kecekapan menguruskan diri sendiri, keluarga dan masa sehingga berusaha meningkatkan pengetahuan berkaitan bidang teknologi maklumat. "Wanita juga perlu memahirkan diri dengan tuntutan sampingan seperti mengasah kebolehan berkomunikasi dengan baik, mempunyai kebolehan menangani tekanan, mampu membuat analisis terhadap sesuatu permasalahan dan paling penting, berterusan membabitkan diri dengan pembelajaran sepanjang hayat.
Namun kita perlu sedar bahawa teknologi cumalah satu alat. Ia tidak membezakan jantina, kerja, atau mesej cuma yang boleh membezakan ialah isi kandungannya. Tetapi, untuk mendapatkan mesej dan maklumat, semua orang perlu menggunakan teknologi. Persoalan utama dalam konteks ini ialah kebolehan mengakses. Hal ini meliputi kemampuan memiliki teknologi, kemudahan prasarana, undang-undang, dan lain-lain. Oleh itu setiap wanita perlu kreatif dan inovatif.
Walaupun wanita berjaya dalam bidang perniagaan dan kerjaya lain, tidak banyak di kalangan mereka yang berjaya naik ke peringkat pengurusan pada tahun 1980-an. Sikap masyarakat, kekananan, dan faktor diskriminasi jantina adalah penyebab utama berlakunya situasi itu. Sewajarnya kerajaan pada masa kini perlu membuka luas peluang bagi golongan wanita di negara ini membina kerjaya mereka dan membuktikan kemampuan mereka dalam melakukan tugas yang dipikul.

0 ulasan: