CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Khamis, 19 Februari 2009

Kebaikan dan Keburukan Teknologi Kepada Masyarakat

Sebelum menganalisis kebaikan dan keburukan teknologi maklumat, adalah sangat penting untuk mengetahui apa yang dimaksudkan dengan teknologi dan juga untuk mengetahui kenapa ia memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Pada masa kini teknologi maklumat bukan sahaja melibatkan literasi komputer malahan juga ia digunakan untuk proses komunikasi dan juga proses penyelesaian masalah dalam tugasan.


Kehadiran teknologi dalam pekerjaan dapat mengubah masyarakat supaya ia dapat menjadikan masyarakat lebih bermaklumat. Pada dahulu kala kita dapat melihat semua kerja dilakukan atau dibuat secara manual dan juga secara fizikal yang memerlukan tenaga manusia. Akan tetapi dengan kewujudan teknologi yang lebih canggih, semua kerja dapat dibuat atau dilakukan dengan baik berdasarkan bantuan teknologi; misalnya dengan satu klik sahaja pada tetikus (mouse), semua kerja dapat disiapkan.

Dengan penggunaan teknologi dalam pekerjaan, kita boleh menjimatkan masa di mana proses perniagaan dapat disiapkan dalam beberapa minit sahaja dan juga dapat dikemaskinikan dalam masa yang singkat mengikut arus teknologi. Kemajuan teknologi sekarang dapat dilihat melalui penembusannya dalam setiap aspek kehidupan harian dari perniagaan hingga ke gaya hidup masyarakat.

Kini, alat-alat komunikasi seperti komputer peribadi, telefon bimbit, mesin faks, e-mail dan internet bukan sahaja menjadi sebahagian daripada kehidupan kita, tetapi juga memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Tujuan artikel ini ditulis juga adalah untuk memfokuskan impak teknologi dalam alam pekerjaan terhadap masyarakat.
Antara kebaikan teknologi adalah seperti globalisasi, komunikasi, dari sudut keberkesanan kos, mengurangkan jurang budaya, meluangkan lebih masa dan mencipta peluang pekerjaan yang baru. Globalisasi ini bukan sahaja menunjukkan perhubungan dunia yang rapat tetapi juga membenarkan ekonomi - ekonomi di dunia ini untuk menjadi satu sistem yang bersifat saling bergantung antara satu sama lain.


Ini dapat dibuktikan lagi dengan berkongsi maklumat secara tepat dan efisien malah ia dapat mengurangkan halangan-halangan dan sekatan geografi. Dunia kini dibangunkan dalam “Global Village” dengan bantuan tenologi yang membolehkan negara - negara kurang maju seperti Chile dan negara-negara maju seperti Jepun yang berbeza dari segi jarak dan juga bahasa perantaraan yang berbeza untuk berkongsi idea dan informasi antara satu sama lain.

Komunikasi pula, dengan bantuan teknologi, proses komunikasi telah menjadi lebih murah, cepat dan juga efisien. Sekarang kita dapat berkomunikasi dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia dengan menghantar teks mesej atau pun dengan kiriman e-mail. Teknologi ini juga membuka peluang untuk berhubung dari muka ke muka iaitu komunikasi secara terus dari bahagian - bahagian yang berbeza di seluruh dunia. Teknologi ini juga digunakan dalam dunia pekerjaan melalui video conferencing yang membolehkan pengurus-pengurus dari negara - negara lain untuk turut serta menghadiri mesyuarat.

Dari sudut keberkesanan kos, teknologi maklumat telah membolehkan semua proses perniagaan dikomputerkan yang mana perniagaan tersebut mendapat pulangan yang tinggi dengan menggunakan peralatan mesin - mesin yang berteknologi. Pada masa yang sama ia juga dapat meningkatkan produktiviti yang mana meningkatkan keuntungan kepada perniagaan.
Mengurangkan jurang budaya pula ialah yang mana teknologi maklumat telah membantu mengurangkan jurang budaya dengan membantu masyarakat dari budaya yang berbeza, berkomunikasi antara satu sama lain dan membolehkan pertukaran idea dan pandangan dalam meningkatkan kesedaran dan mengurangkan prejudis.
Antara kebaikan lain adalah meluangkan lebih masa iaitu teknologi maklumat memberikan peluang bagi perniagaan untuk beroperasi selama 7 hari dan 24 jam di seluruh dunia. Ini bermakna sesuatu perniagaan boleh dibuka pada bila-bila masa, di mana-mana dan membuat pembelian dari negara yang berbeza serta mudah dan selesa. Masyarakat juga dapat menikmati perkhidmatan penghantaran terus ke muka pintu.
Mencipta peluang pekerjaan yang baru pula ialah teknologi yang merupakan kebaikan utama yang mencipta peluang perniagaan yang baru dan menarik. Antara pekerjaan - pekerjaan yang diwujudkan dengan kehadiran teknologi iaitu ‘Computer Programmers’, ‘System Analyzers’, Hardware and Software Developers’ dan Web Designer’.
Walaupun di sini kita menghujahkan atau melihat teknologi memberikan kebaikan dan kepuasan kepada semua pihak, tetapi jika dikaji secara mendalam terdapat juga keburukan yang berselindung disebaliknya. Antaranya ialah, kita boleh dapati iaitu hak persendirian, budaya dominasi, kekurangan dalam keselamatan pekerjaan dan juga pengangguran.
Hak persendirian ialah yang mana dengan kehadiran teknologi, proses komunikasi menjadi lebih cepat, lebih mudah dan lebih selesa. Walaubagaimanapun ia juga membangkitkan isu hak persendirian (privacy). Dalam dunia yang semakin maju ini, masyarakat berasa risau apabila maklumat peribadi di dedahkan menjadi maklumat awam. Ini kerana kemajuan teknologi ini membolehkan data - data persendirian yang disimpan dalam komputer atau telefon bimbit dicerobohi oleh orang lain yang tidak bertanggungjawab.
Dari pandangan dominasi budaya pula ialah walaupun teknologi maklumat menjadikan dunia ini ‘Global Village’, ia juga menyebabkan berlakunya dominasi budaya yang dianggap sebagai kelemahan atau keburukan yang paling dahsyat. Sebagai contoh salah satu isu yang semakin dibangkitkan ialah pengaruh budaya U.S yang mana dapat dilihat di negara kita, ramai remaja terikut dengan budaya barat. Kebanyakkan remaja sekarang terikut dengan gelagat, cara pemakaian dan mengikut gaya budaya barat.
Di samping itu, Bahasa Ingeris juga dijadikan sebagai bahasa primer dalam komunikasi perniagaan dan dalam semua aspek seperti pembelajaran dan sebagainya. Dalam konteks pengangguran, teknologi telah menyebabkan berlakunya peningkatan dalam pengangguran. Ini telah menyebabkan berlakunya ‘downsizing’ dan ‘outsourcing’. Kebanyakkan pekerja yang mahir dan separa mahir telah kehilangan pekerjaan dan secara tidak langsung terjadinya pengangguran. Ini kerana kerja-kerja yang dilakukan oleh mereka telah digantikan dengan penggunaan peralatan pemesinan yang lebih canggih..
Sebagai kesimpulannya, walaupun kita bersetuju dengan dakwaan bahawa teknologi memberikan kebaikan kepada semua pihak, tetapi tanpa disedari ia juga telah memberikan impak yang lebih besar kepada masyarakat.

0 ulasan: